Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
25.08.18 Majlis Ilmu fokus bidang pertanian sebagai agenda utama


BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 25 Ogos - Mesyuarat Kali Kedua Jawatankuasa Pandu Majlis Ilmu 2018 merupakan mesyuarat susulan, bertujuan untuk memantau perkembangan persiapan-persiapan serta membincangkan laporan perkembangan terkini bagi memastikan pelaksanaan Majlis Ilmu 2018 akan berjalan dengan teratur dan sempurna.

Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong juga selaku Pengerusi Bersama mempengerusikan mesyuarat tersebut sempena Perayaan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-72 Tahun bagi Tahun 2018, berlangsung di West Wing, Aras 1, Bangunan Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini.

Hadir sama pada mesyuarat tersebut ialah Pengerusi-pengerusi Bersama Jawatankuasa Pandu Majlis Ilmu 2018, Menteri di JPM, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud; Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mat Suny bin Haji Md. Hussien dan Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned selaku Penasihat Jawatankuasa Pandu Majlis Ilmu 2018.

Turut hadir ialah Timbalan-timbalan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pandu Majlis Ilmu 2018, Timbalan Menteri di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dayang Hajah Elinda binti C.A. Mohamed dan Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd. Salleh; Setiausaha-setiausaha Tetap; Naib-naib Canselor; Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap dan pegawai-pegawai kanan di JPM, Kementerian Kewangan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan dan Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian.

Terdahulu ia dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.

Mesyuarat juga mendengar taklimat laporan daripada Pengerusi-Pengerusi Bersama bagi Jawatankuasa-Jawatankuasa Kerja Majlis Ilmu 2018, berhubung perkembangan terkini persiapan-persiapan yang giat dijalankan serta aktiviti-aktiviti yang dirancang bagi memeriahkan Majlis Ilmu 2018 yang akan diadakan nanti.

Majlis Ilmu tahun ini akan mengetengahkan sektor perekonomian memfokuskan pada bidang pertanian sebagai agenda utama.

Sumber berita: Pelita Brunei
Sumber foto: InfoFoto

Attachments