Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
09.02.2021 - Kesihatan tubuh sejajar lanjutnya usia

‚Äč

Berita dan Foto : Hernie Suliana Haji Othman


TUTONG, Selasa, 9 Februari. - Pengisian yang merangkumi persiapan dan kekuatan anggota manusia sejajar dengan lanjutnya usia dan hak tubuh badan menurut perspektif Islam dibincangkan oleh tiga ahli panel dalam Forum 'Mensyukuri Ni'mat Usia' yang diadakan sempena Majlis Ilmu 2020 di Daerah Tutong.


Majlis yang berlangsung di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong tersebut dihadiri oleh tetamu kehormat, Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Ramli bin Haji Lahit, Penghulu Mukim Telisai dan juga Pemangku Penghulu Mukim Ukong.


Turut hadir, Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Haji Abdul Wahab bin Apong, Penghulu Mukim Tanjong Maya selaku Pemangku Penghulu Mukim Pekan Tutong.


Ahli-ahli panel terdiri daripada Pengarah Pusat Perhubungan Awam dan Antarabangsa,  Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Awang Haji Sammali bin Haji Adam; Konsultan Geriatrik, Kementerian Kesihatan, Dr. Muhammad Nurhasanuddin Abdullah bin Abdullah Kelali, dan Jurupulih Cara Kerja, Kementerian Kesihatan, Dayang Nurul Bazilah binti Haji Ali.


Manakala Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Awang Haji Mohd Shahrol Azmi bin Haji Abd Muluk merupakan moderator bagi forum berkenaan.


Antara pengisian yang dibincangkan adalah persiapan untuk melalui usia yang ada kalanya mempengaruhi kesihatan kita, pandangan Islam tentang usia yang bersifat sementara serta meningkat atau berkurangnya kekuatan anggota manusia itu dipengaruhi oleh usia.


Selain itu juga, membincangkan tip-tip untuk meningkatkan sistem daya tahan tubuh yang memainkan peranan penting dalam penjagaan kesihatan, terutama pada situasi masa kini di mana dunia berhadapan dengan serangan penyakit atau virus serta bagaimana kita menunaikan hak-hak tubuh badan kita menurut pandangan Islam, dalam usaha kita mensyukuri nikmat usia itu.


Forum diadakan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai kepentingan untuk menjaga kesihatan dari aspek kesihatan dan perspektif Islam, terutama sekali bagi warga emas dan dengan tiga ahli panel yang berbeza latar belakang, ia dapat memberikan input dari pelbagai sudut.


Selain forum, pameran berkaitan dengan kesihatan juga diadakan di samping beberapa aktiviti seperti pemeriksaan kesihatan dan kuiz kesihatan.


Orang ramai diberikan peluang untuk mengetahui lebih lanjut mengenai penyakit-penyakit tidak berjangkit (NCDs), bagaimana untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan menjaga kesihatan mengikut sunah serta mengikuti pemeriksaan kesihatan.


Forum dan pameran sempena Majlis Ilmu 2020 ini diungkayahkan bersama oleh Kementerian Kesihatan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), UNISSA dan KUPU SB di bawah Jawatankuasa Kerja Acara Sampingan bagi Sambutan Majlis Ilmu 2020.


Bagi maklumat mengenai acara dan aktiviti yang akan diadakan sempena Majlis Ilmu 2020, orang ramai boleh mengikuti laman sesawang 'www.majlisilmu.gov' dan media sosial rasmi di Instagram '@mi.brunei2020' dan Facebook 'Majlis Ilmu 2020'.


Orang ramai juga boleh mengikuti siaran rakaman forum-forum yang dianjurkan pada setiap Isnin, jam 9.00 malam di RTB Perdana.


http://www.pelitabrunei.gov.bn/Lists/Berita%202018/NewDisplayForm.aspx?ID=31586


Attachments