Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
23.01.2021 - Diet Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam boleh dijadikan panduan, ikutan

‚Äč

BERAKAS, Sabtu, 23 Januari. - Merujuk kepada beberapa kajian, antara negara yang paling sihat di dunia ialah Spain, Itali, Iceland, Jepun, Sweden dan Australia, di mana negara-negara ini mencatatkan jangka umur yang panjang melalui beberapa aspek tertentu, seperti dari segi ekonomi, 'environment' (air), kesihatan dan aspek kejayaan.

 

Sepertimana negara Spain dan Itali, dijangkakan jangka umurnya mencecah purata 86 tahun; negara Sweden menjangkakan purata umur 84 tahun; dan negara-negara lain menjangkakan purata 80 tahun ke atas.

 

Jadi apakah faktor yang memungkinkan mereka ini memiliki jangka umur yang panjang ini adalah dilihat daripada aspek gaya hidup sihat mereka, seperti Spain dan Itali, mereka mengamalkan 'diet mediterranean' (dirujuk kepada cara pemakanannya yang gemar menggunakan minyak zaitun 'olive oil' dan makanan yang bersumberkan sayur-sayuran dan ikan).

 

Manakala, seperti negara Iceland, gaya hidup sihat mereka lebih kepada gaya pemakanan yang segar (fresh) juga tidak bercampur dengan sebarang bahan pengawet dan sebagainya, di samping negara berkenaan juga mempunyai keluaran lembu tempatan sendiri (dan ternakan mereka ini tidak memakan bahan makanan lain, kecuali rumput sahaja - secara semula jadi).

 

Sementara Jepun pula mengamalkan diet yang bagus, antaranya mengamalkan pemakanan, seperti ikan, makanan yang segar dan semula jadi juga menggemari sistem pemakanan secara berebus.

 

Selain itu, mereka turut mengamalkan etika makan dengan mengambil nisbah makanan yang kecil dan paling penting masyarakat mereka ini gemar berjalan kaki, ini sudah cukup untuk membayangkan bahawa mereka ini gemar mengamalkan gaya hidup sihat yang diseimbangi dengan kesihatan fizikal (physical fitness).

 

Justeru, perkara-perkara sebegini perlu diambil perhatian oleh kalangan anak-anak muda, masyarakat dan ahli-ahli sains muda kita untuk mempelajari perkara-perkara sebegini juga mengimplementasikan cara dan kaedah amalan cara hidup sihat juga diet seimbang ini kepada negara dan masyarakat kita.

 

Perkara itu, antara yang dikongsikan oleh salah seorang ahli panel forum yang diketengahkan oleh Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Haji Adanan bin Haji Basar, pada forum bertajuk 'Diet Sunah', yang berlangsung di Dewan Mahligai, Airport Mall, di sini.

 

Seorang lagi ahli panel turut menyerikan sesi forum tersebut, dengan mengetengahkan ulasannya mengenai peri mustahaknya mengetahui tujuan dan tatacara untuk berdiet dengan betul agar tidak memudaratkan kesihatan, selain turut mengongsikan beberapa info mengenai diet yang seimbang, disampaikan oleh Pegawai Penjaga Zat Makanan Kanan, Kementerian Kesihatan, Dayang Hajah Nurasma Aini binti Haji Mat Yassin.

 

Forum dipengerusikan oleh Penolong Pensyarah Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Haji Awang Khairul Nazif bin Haji Awang Damit.

 

Di samping itu, forum itu juga, antara lain menyentuh pelbagai aspek berkaitan etika pemakanan sihat, diet Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang boleh dijadikan panduan dan ikutan kerana baginda adalah contoh teladan yang terbaik buat semua umat manusia.

 

Antara tujuan forum tersebut diadakan adalah untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan untuk menjaga pemakanan untuk kesihatan dan melalui perspektif Islam.

 

Hadir selaku tetamu kehormat, Setiausaha Tetap (Keselamatan, Penguatkuasaan dan Undang-Undang), Jabatan Perdana Menteri, Leftenan Kolonel (B) Pengiran Haji Muhamad Sazali bin Pengiran Haji Yakob.

 

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Kementerian Kesihatan, Dr. Haji Zulaidi bin Haji Abdul Latif.

 

Pada sebelah petangnya pula, satu Ceramah Umum, bertajuk 'Pencegahan COVID-19 dan Vaksin COVID-19', disampaikan oleh Pakar Bersekutu, Ketua Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Dr. Justin Wong.

 

Forum sempena Majlis Ilmu 2020 ini diungkayahkan bersama oleh Kementerian Kesihatan; Kementerian Hal Ehwal Ugama; UNISSA; dan KUPU SB, di bawah Jawatankuasa Kerja Acara Sampingan bagi Sambutan Majlis Ilmu 2020.

 

Dalam pada itu, beberapa forum dan pameran akan turut diadakan di masjid-masjid, dewan-dewan kemasyarakatan dan kompleks membeli-belah di keempat-empat daerah, bermula dari Januari ini hingga Februari tahun ini.

 

Antara acara yang akan diadakan adalah sebuah Forum bertajuk 'Obes & Diabetes : Beringat Sebelum Kena', di Masjid Setia Ali, Pekan Muara, pada Ahad, 24 Januari 2021, jam 9.00 pagi dan orang ramai adalah dialu-alukan untuk menghadiri forum tersebut.

 

Selain forum, pameran berkaitan dengan kesihatan juga akan diadakan, di samping beberapa aktiviti, seperti pemeriksaan kesihatan dan kuiz kesihatan.

 

Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Penyakit-penyakit Tidak Berjangkit (Non-Communicable Disease - NCD's), bagaimana untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan menjaga kesihatan mengikut sunah juga mengikuti pemeriksaan kesihatan secara percuma dialu-alukan untuk hadir ke pameran tersebut.

 

Pameran akan diadakan di Airport Mall, bermula hari ini hingga Ahad, 24 Januari 2021.

 

Bagi sebarang maklumat mengenai acara-acara dan aktiviti-aktiviti yang akan diadakan sempena Majlis Ilmu 2020, orang ramai boleh mengikuti laman sesawang 'www.majlisilmu.gov.bn' atau media sosial rasmi Majlis Ilmu 2020 (IG : 'mi.brunei 2020'; dan Facebook : 'Majlis Ilmu 2020').


Attachments