Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
17.01.2021 - Forum ‘Gaya Hidup Sihat’ tekankan kesan rokok

TUTONG, Ahad, 17 Januari. - Merokok merupakan salah satu faktor risiko penyakit-penyakit tidak berjangkit, di mana ia merupakan punca utama kematian di Negara Brunei Darussalam.

 

Sebatang rokok mengandungi lebih dari 4,000 jenis bahan kimia, di mana 400 darinya adalah bahan beracun, 60 bahan penyebab kanser, dan satu jenis dadah yang menyebabkan ketagihan, iaitu nikotin.

 

Tiga bahan utama yang terkandung dalam sebatang rokok, termasuklah nikotin, tar dan karbon monoksida.

 

Perkara tersebut antara inti pati yang disampaikan oleh Pegawai Perubatan Kanan, Kementerian Kesihatan, Dr. Siti Rosemawati binti Haji Md. Yussof pada forum bertajuk 'Gaya Hidup Sihat' yang berlangsung di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, hari ini.

 

Dr. Siti Rosemawati menjelaskan, tiga bahan tersebut boleh memberi kesan yang negatif pada kesihatan dan menyebabkan bermacam-macam masalah kesihatan. Ini termasuklah kanser (paru-paru, mulut, kerongkong dan kanser-kanser lain), sakit jantung, strok (angin ahmar), diabetes (kencing manis), darah tinggi, sakit paru-paru kronik dan sebagainya.

 

Manakala rokok elektronik (vape) pula jelasnya, adalah sejenis alat elektronik yang dikendalikan oleh bateri. Alat ini memanaskan sejenis cecair (dipanggil e-juice / e-liquid), di mana kemudiannya menghasilkan aerosol. Aerosol inilah yang dihidu masuk ke dalam paru-paru.

Sementara itu, Pegawai Psikologi, Kementerian Kesihatan, Dayang Hajah Rozailah binti Haji Abd. Rahman semasa forum turut menerangkan mengenai dengan stres atau tekanan, di mana tekanan itu adalah cara badan untuk bertindak balas terhadap segala permintaan atau ancaman.

 

Sistem saraf ujarnya, akan bertindak balas dengan melepaskan sejumlah 'hormone stress', termasuk 'adrenaline' dan kortisol yang membangkitkan badan untuk tindakan kecemasan.

 

Menurut beliau lagi, tekanan juga dapat membantu meningkat untuk menghadapi cabaran. Inilah yang membuat kita mampu membuat taklimat di tempat kerja, meningkatkan tumpuan semasa kita mencuba permainan atau mendorong kita untuk belajar dalam ujian.

 

Hadir selaku tetamu khas pada forum tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Abdul Wahab bin Apong, selaku Penghulu Mukim Tanjong Maya dan Pemangku Penghulu Mukim Pekan Tutong.

 

Turut Hadir, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Haji Mohd. Serudin bin Haji Timbang.

 

Ahli panel forum pula terdiri dari Pegawai Perubatan Kanan, Kementerian Kesihatan, Dr. Siti Rosemawati; Pensyarah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Hajah Ummi Faizah binti Haji Abdul Rahman; Pegawai Psikologi, Kementerian Kesihatan, Hajah Rozailah dan Timbalan Pengarah Pusat Ilmu Teras Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dayangku Zainab binti Pengiran Haji Tuah selaku moderator.

 

Forum anjuran Kementerian Kesihatan, KHEU, UNISSA dan KUPU SB adalah sebagai sebahagian daripada acara sampingan Majlis Ilmu 2020 yang diadakan setiap tahun.

 

Beberapa forum dan pameran juga akan diadakan di masjid-masjid, dewan-dewan kemasyarakatan dan kompleks membeli-belah di keempat-empat daerah yang akan diadakan dari bulan Januari hingga Februari tahun ini.

 

Ini termasuklah, forum bertajuk 'Sifir Di Sebalik Saranan' juga akan diadakan di Airport Mall pada Sabtu, 23 Januari 2021, pada jam 9.00 pagi dan pameran berkaitan dengan kesihatan juga akan diadakan, di samping beberapa aktiviti seperti pemeriksaan kesihatan dan kuiz kesihatan.

 

Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai penyakit-penyakit tidak berjangkit (NCDs), bagaimana untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan menjaga kesihatan mengikut sunnah serta mengikuti pemeriksaan kesihatan secara percuma dialu-alukan untuk hadir ke pameran tersebut.

 

Pameran ini akan diadakan di Airport Mall, pada Ahad, 24 Januari 2021.

 

Seterusnya, ceramah bertajuk 'Pencegahan COVID-19 dan Vaksin COVID-19' juga akan diadakan pada Ahad, 24 Januari 2021 di Airport Mall, yang akan disampaikan oleh Pakar Bersekutu, Ketua Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Dr. Justin Wong.

 

Sehubungan dengan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk hadir bersama-sama mendengarkan forum dan ceramah berkenaan, selain pameran-pameran yang dianjurkan.

 

Bagi maklumat lanjut mengenai acara-acara dan aktiviti-aktiviti yang akan diadakan sempena Majlis Ilmu 2020, orang ramai boleh mengikuti laman sesawang, 'www.majlisilmu.gov.bn' dan media sosial rasmi Majlis Ilmu 2020 (Instagram : '@mi.brunei 2020' dan Facebook : 'Majlis Ilmu 2020').


http://www.pelitabrunei.gov.bn/Lists/Berita%202018/NewDisplayForm.aspx?ID=31163



Attachments