Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
13.01.2021 - Sidang Akhbar : Forum serikan Majlis Ilmu 2020

‚Äč

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 13 Januari. - Sempena Majlis Ilmu 2020 yang diadakan setiap tahun, pihak Jawatankuasa Kerja Acara Sampingan Majlis Ilmu 2020 akan mengadakan sesi forum bertajuk 'Jantung Hatiku' yang akan diadakan pada Sabtu, 2 Jamadilakhir 1442 Hijrah bersamaan dengan 16 Januari 2021 Masihi, bertempat di Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait.


Pengarah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Haji Hambali bin Haji Jaili dan Konsultan, Ketua Unit Kardiologi, Kementerian Kesihatan, Dr. Mohamad Ezam bin Emran adalah ahli-ahli panel yang akan menyampaikan pembentangan di dalam forum tersebut.


Manakala Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Muhammad Yussof bin Haji Abd. Majid adalah moderator bagi forum ini.


Tujuan forum ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan untuk menjaga kesihatan, terutama sekali penjagaan jantung dari aspek perubatan dan kerohanian.


Orang ramai adalah dialu-alukan untuk hadir ke forum tersebut ataupun juga dapat diikuti melalui Instagram '@mi.brunei2020' yang akan disiarkan secara langsung kepada orang ramai.


Selain forum, pameran berkaitan dengan kesihatan juga akan diadakan di masjid berkenaan di samping beberapa aktiviti seperti pemeriksaan kesihatan, kuiz kesihatan dan demonstrasi sembahyang ketika sakit.


Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai penyakit-penyakit tidak berjangkit (NCD's), bagaimana untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan menjaga kesihatan mengikut sunnah serta mengikuti pemeriksaan kesihatan secara percuma dialu-alukan untuk hadir ke pameran tersebut.


Pameran ini akan diadakan di Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait bermula dari jam 9.00 pagi hingga 4.30 petang.


Forum dan pameran sempena Majlis Ilmu 2020 ini diungkayahkan bersama oleh Kementerian Kesihatan, KHEU, UNISSA dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) di bawah Jawatankuasa Kerja Acara Sampingan bagi Sambutan Majlis Ilmu 2020.


Beberapa forum dan pameran juga akan diadakan di masjid-masjid, dewan-dewan kemasyarakatan dan kompleks membeli-belah di keempat-empat daerah dari Januari sehingga Februari tahun ini.


Acara berikut yang akan diadakan adalah sebuah forum bertajuk 'Gaya Hidup Sihat' di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, pada Ahad, 3 Jamadilakhir 1442H bersamaan 17 Januari 2021M pada jam 9.00 pagi. Orang ramai dialu-alukan untuk menghadiri forum tersebut.


Ahli-ahli panel bagi forum ini ialah Pegawai Perubatan Gred II, Kementerian Kesihatan; Dr. Siti Rosemawati binti Haji Md. Yussof, Pensyarah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, UNISSA, Dr. Hajah Ummi Faizah Binti Haji Abdul Rahman dan Pegawai Psikologi, Kementerian Kesihatan, Hajah Rozailah Binti Haji Abd. Rahman.


Manakala Timbalan Pengarah Pusat Ilmu Teras, KUPU SB, Dayangku Zainab binti Pengiran Haji Tuah adalah moderator bagi forum tersebut.


Bagi maklumat mengenai acara-acara dan aktiviti-aktiviti yang akan diadakan sempena Majlis Ilmu 2020, orang ramai boleh mengikuti laman sesawang 'www.majlisilmu.gov.bn' dan media sosial rasmi Majlis Ilmu 2020 menerusi Instagram '@mi.brunei 2020' dan Facebook : 'Majlis Ilmu 2020'.


http://www.pelitabrunei.gov.bn/Lists/Berita%202018/NewDisplayForm.aspx?ID=31095


Attachments