Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
15.12.2020 : Syukuri nikmat Allah dengan menjaga, memanfaatkannya

‚Äč

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 15 Disember. - Kesihatan itu adalah nikmat anugerah Allah Subhanahu Wata'ala yang wajar lagi wajib disyukuri. Mensyukurinya ialah dengan cara menjaganya dan memanfaatkannya, tidak mengabaikannya, tidak mensia-siakannya.

Dan kita syukuri Allah yang menganugerahkannya itu dengan mengingati-Nya untuk diibadati dan ajaran-ajaran-Nya ditaati.

 

Demikian antara inti pati Ceramah Khas Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman pada Majlis Ilmu 2020 sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-74, Tahun 2020.

 

Yang Berhormat juga menyatakan dalam konteks bernegara dan berkerajaan, kita mengatakan dengan yakin bahawa Brunei dan pemerintahan berajanya adalah melaksanakan kewajiban mensyukuri nikmat kesihatan itu dengan menyediakan perkhidmatan kesihatan yang percuma dan dapat diakses oleh sekalian rakyat.

 

Yang Berhormat menjelaskan, inisiatif mengadakannya sedemikian itu adalah dengan niat murni untuk mensejahterakan rakyat, di mana ia dimungkinkan mampu ditanggung biayanya oleh negara dari hasil mahsul kerajaan bersumber dari industri minyak, di mana hasil mahsul itu juga adalah nikmat anugerah Allah yang disyukuri secara mengembangkannya sehingga mendatang nilai tambah, seperti adanya sekarang dalam bidang ekonomi dan industri itu digunakan kerajaan dan negara kita tanda kita mensyukurinya ajaran nikmat anugerah Allah.  

 

"Selaras dengan ini, maka wajib pula kita syukuri negara dan pemerintahan berajanya yang dipimpin dan diterajui dengan adil bijaksana oleh Rajanya sebagai Wali Al-Amri kita dalam bernegara dan berpemerintahan," tegas Yang Berhormat.

 

Dan mensyukuri nikmat kesihatan itu bagi kita sebagai individu, ringkas Yang Berhormat ialah dapat dan jagalah kesihatan untuk dipergunakan dengan sebaik-baiknya.

 

Jangan lupa bahawa nikmat kesihatan adalah nikmat Allah yang utama selepas nikmat iman kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan nikmat Islam, jelas Yang Berhormat.

 

Yang Berhormat menambah, begitulah dengan nikmat-nikmat lain, segala nikmat yang tidak terhitung banyaknya itu yang sebahagiannya dianugerahkan oleh Allah kepada kita dalam suka-duka kehidupan ini adalah dengan izin-Nya jua.

 

Kita memiliki tujuh anggota tubuh badan dan ada banyak lagi yang kita miliki sebagai anugerah Allah. Ada yang nyata dapat dilihat dengan mata banyak atau sedikit, kurang atau lebih. Dan banyak lagi yang tidak dapat dilihat namun dapat dirasai, suka duka, susah senang, sejahtera dan bahagia dan apa saja yang pasti tidak terkira banyaknya. Semuanya ditentukan oleh Allah untuk kita miliki, kita rasai dan kita nikmati dengan izin-Nya kita terima anugerah-Nya, terang Yang Berhormat.

 

Demikian itulah, kata Yang Berhormat, hakikat syukur kepada Allah Subhanahu Wata'ala, mensyukuri-Nya dan mensyukuri nikmat anugerah-Nya.

 

Menurut Yang Berhormat, itu menepati makna menghargakan nikmat, tidak mensia-siakannya, menggunakannya dengan baik, mengambil faedah daripadanya, tidak menyalahgunakannya.

 

Semua itu wajib kita ingat datangnya daripada Allah Subhanahu Wata'ala yang mengizinkannya untuk kita miliki, ujar Yang Berhormat.

 

''Gambaran kesihatan itu suatu keperluan asasi, bukan 'luxury' bagi manusia telah disebutkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan memberikan makna dan maksud yang juga luas cakupannya, iaitu keadaan seseorang aman tenteram keamanan dalam rumah tangganya, berkeadaan sihat afiat sepenuhnya, mempunyai makan minum yang cukup,'' jelas Yang Berhormat.

 

Tambah Yang Berhormat, tujuannya ialah bagi menjaga keselamatan nyawa manusia, fizikal dan mental (jasmani dan rohani) daripada ancaman penyakit-penyakit dan punca-puncanya atau sebab-sebabnya sehinggalah manusia dapat hidup aman sejahtera sihat afiat jasmani dan rohaninya yang biasa kita sebut sihat sejahtera zahir dan batin, fizikal dan mental dengan mengadakan langkah-langkah perlindungan serta cara-cara pengubatan.

 

Maka bagi maksud itu, Yang Berhormat menggariskan bahawa syariah Islam mengadakan kaedah-kaedah am, antaranya ialah untuk menghindarkan jangkitan wabak, maka dibuat larangan mendatangi wilayah atau negeri yang sedang dilanda wabak penyakit dan penduduknya dilarang keluar, dan saranan mencuci tangan dengan air selepas tidur dan menjadikannya sebahagian daripada perintah wajib mencuci kedua belah tangan hingga ke siku dalam berwuduk adalah bertujuan membersihkan kotoran, bahkan menghindari jangkitan kuman.

 

Kedua-dua contoh kaedah am yang disediakan oleh syariah Islam ini, jelas Yang Berhormat, ternyata selaras dengan langkah-langkah pencegahan jangkitan penyakit, seperti menjadikannya sebahagian SOP Lockdown dan SOP nyah kuman atau sanitasi pencegahan virus, seperti virus COVID-19 yang sedang melanda dunia sekarang.

 

''Negara kita Brunei Darussalam (NBD) adalah mensyukuri nikmat kesihatan itu sebagai anugerah Allah Subhanahu Wata'ala. Dalam tindakan dan kenyataan adalah jelas dan terang bahawa negara kita Brunei tidak mengkufuri nikmat kesihatan dengan mengadakan perkhidmatan kesihatan. Ia adalah sebahagian daripada dasar kerajaan yang mengambil berat kebajikan rakyat yang membawa kepada kesejahteraannya,'' ujar Yang Berhormat.

 

Tidak salah kalau mendapatkan perubatan dengan rawatan secara apa yang disebut Tibbun Nabawi, namun janganlah menganggap itulah sahaja perubatan Islam yang dianggap sebagai perubatan yang menjadi alternatif. Anggapan sedemikian salah, tegas Yang Berhormat, kerana dengan sendirinya menolak alternatif kepada perubatan konvensional moden sekarang.

 

Menurut Yang Berhormat, pada hal bukti-bukti sejarah dan keterangan-keterangan, terutama sekali menerusi hadis berhubung dengan pelaksanaannya oleh Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dan para sahabat tidak menolak keahlian tabib-tabib yang mengamalkan perubatan yang tersedia dalam masyarakat Arab dan lain-lain masyarakat, selama mana ia tidak bertentangan dengan ajaran-ajaran Allah Subhanahu Wata'ala.

Yang Berhormat juga menekankan bahawa kalau kita memerlukan perubatan daripada perkhidmatan kesihatan yang ada, baik pun yang disediakan oleh kerajaan mahupun oleh perubatan swasta yang ada, di samping mengamalkan bacaan-bacaan doa dan zikir yang dipelajari dari sumbernya yang layak dan terpecaya.

 

Selain itu, Yang Berhormat juga menggariskan, dalam tempoh hampir 70 tahun (1950 hingga sekarang), negara telah menyaksikan perkhidmatan kesihatan yang berkembang dan maju. Dari segi infrastruktur dan dari aspek jenis-jenis perkhidmatan atau rawatan. Kita juga mempunyai sebilangan doktor-doktor terdiri daripada anak-anak tempatan, lelaki dan perempuan yang ada di antaranya bertaraf doktor pakar.

 

Semua itu, tambah Yang Berhormat, membanggakan yang apabila dilihat dari sudut pandang nikmat dan rahmat Allah Subhanahu Wata'ala pastilah wajib pula disyukuri.

 

Yang Berhormat berkata, kesyukuran kita kepada Allah juga meliputi rasa terima kasih kerana kita bernegarakan NBD dengan pemerintahan berajanya yang dipimpin dan diterajui dengan bijaksana oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Wali Al-Amri kita dalam bernegara dan berpemerintahan beraja.

 

''Baginda telah mengembangmajukan perkhidmatan-perkhidmatan untuk mensejahterakan rakyat dan seterusnya mengembangmajukan ekonomi negara dan memberi perhatian yang berat kepada penyediaan modal insan generasi baharu negara dalam berbagai bidang, termasuklah bidang-bidang keagamaan,'' jelas Yang Berhormat.

 

Hasilnya tentulah yang dapat dilihat betapa rakyat yang terpenuhi keperluan kesihatan mereka itu melahirkan pula zuriat keturunan yang merupakan generasi yang sihat. Dengan itu dapat menikmati kehidupan yang baik sihat afiat dan sejahtera. Dan itulah seterusnya generasi penerus rakyat NBD yang bertuah ini, ujar Yang Berhormat.

 

Yang Berhormat menekankan, suatu hal yang patut disedari bahawa inisiatif negara dan kerajaan mengadakan perkhidmatan kesihatan dengan menjadikannya percuma dan dapat diakses oleh sekalian rakyat itu sebagaimana juga dengan perkhidmatan pelajaran percuma dan lain-lain dasar sosial kebajikan dan kemasyarakatan adalah diasaskan dan diadakan dengan niat murni untuk mensejahterakan rakyat.

 

''Dasar dan niat murni sedemikian itu kekal, malah diketarakan dan diperkasakan lagi oleh kerajaan kita yang diterajui dan dipimpin dengan bijaksana oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Wali Al-Amri kita dalam bernegara dan berpemerintahan beraja,'' jelas Yang Berhormat lagi.


Sumber Pelita Brunei Online


Attachments