Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
13.10.19 Budayakan penyelidikan manuskrip Melayu

‚Äč


Membudayakan manuskrip Melayu adalah penting kerana isi manuskrip Melayu itu adalah refleksi kehidupan, kepercayaan, akal budi dan pemikiran masyarakat Melayu sebagai penciptanya.

Pengarah Pusat Pengajian Islam Sultan Omar 'Ali Saifuddien, Universiti Brunei Darussalam, Profesor Madya Ampuan Dr. Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah berkata, ia penting sebagai sumber rujukan pelbagai disiplin ilmu.

Oleh itu jelasnya, salah satu cara membudayakan penyelidikan manuskrip Melayu ada tiga cara iaitu pertama melalui teknologi maklumat dan media massa seperti radio, televisyen dan surat khabar manakala kedua, mengadakan pameran serta memberikan penerangan manuskrip di kawasan-kawasan tumpuan orang ramai dan di sekolah-sekolah dan ketiga, melalui pendidikan, iaitu dengan menyelitkan mata pelajaran filologi di dalam mata pelajaran Bahasa Melayu atau Kesusasteraan Melayu atau Sejarah.

Perkara demikian dijelaskan semasa membentangkan kertas kerja yang bertajuk Membudayakan Penyelidikan Manuskrip: Kajian Manuskrip Melayu di Universiti Brunei Darussalam (UBD) pada Seminar Majlis Ilmu 2019 yang berlangsung di Dewan Teater, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di sini.

Sebagai contoh katanya, UBD diajarkan kajian manuskrip Melayu khususnya pendekatan filologi dan ini penting untuk mengetahui keaslian manuskrip tersebut daripada perbandingan kertas, tulisan dakwat dan sebagainya.

Walaupun jumlahnya masih kurang jelasnya, beberapa orang pelajar telah pun membuat latihan ilmiah mengenai manuskrip Melayu Brunei. Bagaimanapun, bagi memperbanyakkan lagi kajian manuskrip Melayu, penyelidikan manuskrip Melayu perlu dibudayakan lagi secara meluas kepada masyarakat dan para pelajar.

Sementara President of the Indonesian Association for Nusantara Manuscript,Yang Terhormat Professor Dr. Oman Fathurahman dalam kertas kerja bertajuk Manuskrip Melayu dan Rekonstruksi Sejarah Islam di Asia Tenggara pula membincangkan pentingnya kajian manuskrip Melayu dalam usaha membina sejarah Islam di Asia Tenggara dengan memaparkan perkembangan aktiviti mutakhir keilmuan yang berkaitan dengan manuskrip Islam di dunia Melayu, termasuk upaya pemeliharaan, penelitian, digitalisasi, dan penerbitannya, baik dalam bentuk buku mahupun jurnal ilmiah.

Berdasarkan kajian dan katalog, jelasnya, naskhah manuskrip bahasa Melayu mempunyai jumlah yang terbanyak, diikuti dengan naskhah bahasa Arab dan naskhah bahasa tempatan lainnya. Sejak Abad ke-7, naskhah tulisan tangan (manuskrip) sudah mula wujud di wilayah Melayu-Nusantara. Pemikiran intelektual Islam menonjol dalam manuskrip-manuskrip Melayu Nusantara.

Menurutnya, terjemahan manuskrip Nusantara itu lebih kepada penterjemahan idea, gagasan dan ideologi yang mana bahasa induknya adalah Bahasa Arab. Bahasa Melayu menjadi penghubung tradisi berbagai wilayah dan dapat melestarikan warisan Melayu dengan cara masing-masing.

Manakala Profesor Universiti Sains Malaysia dan Ahli Persatuan Manuskrip Islam, Malaysia, Yang Berbahagia Profesor Dr. Jelani Harun dalam kertas kerjanya bertajuk Manuskrip Melayu dan Pengukuhan Identiti Bangsa Berasaskan Naskhah Perundangan Adat dan Ketatanegaraan berkata, penyelidikan beliau yang meluas dalam manuskrip undang-undang adat kesultanan Melayu telah memberikan gambaran bahawa undang-undang masa silam banyak berhubung dengan nilai-nilai dan kepercayaan masyarakat Melayu terhadap kuasa dan kedudukan raja.

Pada waktu itu, jelasnya, undang-undang adat ibarat suatu perlembagaan yang memelihara kedaulatan negara.

Tegasnya, hukum adat (Customary Law) adalah undang-undang yang menjadi amalan dalam sistem pemerintahan Alam Nusantara. Undang-undang berkenaan digubal oleh pihak istana berdasarkan keadaan masyarakat ketika itu dan berpandukan nilai, norma dan jati diri kehidupan bernegara masa lalu.

Semua ini, telah berjaya menjadikan Alam Nusantara membina tamadun gemilang berteraskan hukum adat. Peraturan-peraturan adat yang dirujuk dan menjadi panduan raja, pembesar dan rakyat termaktub dalam naskhah Undang-Undang Melaka, atau Hukum Kanun Melaka, Undang-Undang Kedah, Hukum Kanun Pahang dan lainnya.

Moderator sesi pertama ialah Pengarah Pusat Penyelidikan Mazhab Shafi'i, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Azme bin Haji Matali.

Hadir sama pada seminar tersebut ialah Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain@Maidin; Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal; Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Haji Adanan bin Haji Besar; Penolong Mufti (Buhuth), Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mazanan bin Haji Yusof dan Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Attachments