Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
13.10.19 Laksanakan pemerolehan manuskrip Melayu lama

‚Äč


Hari pertama Seminar Majlis Ilmu 2019 diteruskan lagi dengan sesi keempat, iaitu pembentangan tiga lagi kertas kerja dengan sub tema, bertajuk 'Manuskrip Islam dalam Melestari Keunggulan Ilmu Islam'.

Dalam sesi yang berlangsung di Dewan Teater, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di sini, kertas-kertas kerja dibentangkan oleh Profesor Penyandang Kursi Za'ba, Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Malaysia, Profesor Datuk Dr. Awang Sariyan; Pensyarah Fakulti Syariah, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Haji Ahmad Baha bin Haji Mokhtar; dan Timbalan Pengarah, Akademik Pengajian Brunei, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Profesor Madya Dr. Haji Awang Asbol bin Haji Mail.

Pembentangan dipengerusikan oleh Pensyarah, Pusat Komunikasi, Pengajaran dan Pembelajaran, Universiti Teknologi Brunei (UTB), Dr. Malai Yunus bin Malai Yusuf.

Profesor Datuk Dr. Awang Sariyan dalam kertas kerja beliau, bertajuk Sumbangan Manuskrip Melayu Lama kepada Peradaban Bangsa : Catatan Berdasarkan Beberapa Teks, antara lain menjelaskan bahawa manuskrip Melayu lama mempunyai pertalian yang erat dengan pertumbuhan dan perkembangan peradaban umat Melayu, yang sifatnya merentas ratusan etnik di alam Melayu.

Manuskirp Melayu lama jelas beliau, merupakan tanda permulaan tradisi persuratan atau ragam bahasa tertulis yang berkesan, yang juga menayangkan kecanggihan dan ketinggian pemikiran, kreativiti juga inovasi pemikir, pujangga, ulama dan 'pandai-pandai' Melayu.

Tambahnya, ia juga menayangkan pandangan sarwa (worldwide) yang berlunaskan Islam sebagai cara hidup yang syumul dan diredai Allah.

Beliau seterusnya menyarankan bahawa perlu dilaksanakan pemerolehan manuskrip Melayu lama dengan lengkap di pusat-pusat pendidikan dan penyelidikan di alam Melayu, terutama dalam bentuk digital dari pusat manuskrip seperti di Universiti Leiden, British Library, Royal Asiatic Society dan lain-lain juga lantikan filologi dan ahli ilmiah dalam bidang-bidang yang bersangkutan dengan peradaban Melayu untuk melakukan penelitian intensif tentang kandungan manuskrip Melayu lama dan menyuntingnya bagi tujuan penerbitan untuk rujukan generasi akan datang.

Sementara itu, Dr. Haji Ahmad Baha dalam pembentangan kertas kerja beliau, bertajuk Kajian Terhadap Manuskrip-manuskrip Al-Quran Tertua di Dunia, antara lain menjelaskan bahawa hasil-hasil kajian terhadap manuskrip-manuskrip Al-Quran tertua membuktikan kebenaran jaminan Allah Subhanahu Wata'ala terhadap pemeliharaan Al-Quran sepanjang zaman.

Manuskrip Al-Quran zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam menurutnya, berjaya dikumpul sepenuhnya sebanyak dua kali menurut riwayat berkaitan sejarah penulisan Al-Quran, iaitu pada zaman Abu Bakr (r.a) tahun 12 Hijrah, iaitu semasa pembukuan (suhuf) Al-Quran pertama dan pada zaman Uthman (r.a) pada tahun 25 hijrah semasa projek penulisan mushaf Uthmani.

Manuskrip Mushaf Uthmani, iaitu naskhah-naskhah manuskrip yang ditulis pada zaman Uthman (r.a) katanya, selain itu terdapat penemuan manuskrip-manuskrip Al-Quran tertua, termasuk manuskrip mushaf Kaherah yang tersimpan di masjid Husayn di Kaherah, manuskrip mushaf Topkapi, Turki, manuskrip mushaf Sana'aa, Yeman, penemuan manuskrip Al-Quran di Universiti Birmingham dan lain-lain.

Manakala, Prof. Madya Dr. Haji Awang Asbol pada sesi tersebut membincangkan mengenai Hukum Kanun Brunei; Isu dan Peranannya Memperkasakan Perundangan Islam, antara lain menjelaskan bahawa menerusi wasiat Sultan Jalilul Akhbar kepada anakanda baginda, Sultan Abdul Jalilul Jabbar supaya terus menguatkuasakan Hukum Kanun Brunei dalam pemerintahan baginda dan ia berlaku bukan sahaja di kawasan kerajaan pusat Brunei malah juga sehingga ke wilayah Sarawak.

Jelasnya, isu berkaitan dengan manuskrip tradisional undang-undang tersebut ialah ia tidak diketahui pengarang dan tarikh penulisannya sehingga menimbulkan isu juga teori berlainan dalam kalangan para pengkaji.

Teori pertama tambahnya, menyatakan bahawa Hukum Kanun Brunei ditulis dan dilaksanakan di zaman Sultan Sharif Ali, teori kedua mengatakan bahawa ia ditulis juga mula dilaksana pada ketika pemerintahan Sultan Saiful Rizal pada abad ke-16 dan pendapat terakhir mengatakan Hukum Kanun Brunei ditulis pada zaman Sultan Hasan.

Namun begitu ujarnya, bukti sejarah menunjukkan bahawa Hukum Kanun Brunei memainkan peranan dalam memperkasa perundangan Islam dalam kesultanan Brunei dari abad ke-15 hingga abad ke-19.

Kanun itu juga jelasnya, boleh dikatakan memperkasa undang-undang Islam apabila didapati kandungannya juga terdapat undang-undang adat yang memperlihatkan keadilan yang ditonjolkan oleh Sultan Brunei sebagai pemerintah Islam, khususnya bagi rakyatnya yang bukan beragama Islam.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Attachments