Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
13.10.19 Meraikan sumbangan Jawatankuasa Kerja Majlis Ilmu

‚Äč


Majlis Resepsi / Penghargaan Majlis Ilmu 2019 sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-73, Tahun 2019 berlangsung di Dewan Bankuet, Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Majlis Ilmu diungkayahkan bersama oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM); Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU); Kementerian Pendidikan; dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan temanya 'Manuskrip Islam Mercu Tanda Ketamadunan Umat'.

Hadir pada majlis tersebut, Menteri di JPM, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pandu Majlis Ilmu 2019; dan Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned selaku Penasihat Jawatankuasa Pandu Majlis Ilmu 2019.

Majlis Resepsi / Penghargaan Majlis Ilmu bertujuan untuk menghargai sumbangan tenaga dan buah fikiran daripada Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Majlis Ilmu dalam menjayakan Majlis Ilmu 2019.

Selain itu, majlis tersebut adalah bagi meraikan Penceramah Khas bagi Majlis Perasmian, ahli-ahli panel dan moderator bagi Forum Perdana, penceramah bagi Ceramah Perdana, juga moderator dan pembentang kertas-kertas seminar bagi Seminar Majlis Ilmu.

Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, dipimpin oleh siswa-siswa dari Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, seterusnya bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Awang Mohd. Amin bin Haji Salim.

Diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Berhormat Menteri di JPM, antara lain mengetengahkan objektif utama penganjuran Majlis Ilmu tersebut sebagai mercu tanda kepimpinan intelektual Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang sangat menitikberatkan kepentingan ilmu untuk masyarakat.

Bercakap mengenai tema Majlis Ilmu 2019 kali ini, Yang Berhormat menjelaskan, tema tersebut memberikan huraian bahawa falsafah MIB adalah teras kepada pembentukan ketamadunan NBD di bawah kepimpinan Kebawah DYMM, di mana falsafah MIB diserapkan secara langsung ke dalam pelbagai agenda pembangunan negara, termasuk agama, ekonomi, pendidikan, kesihatan, kesejahteraan dan sebagainya.

Tambah Yang Berhormat lagi, ini juga adalah buat julung kalinya Majlis Ilmu diadakan di luar dari Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas selepas 13 tahun dan keadaannya adalah sangat berlainan dan cabarannya cukup menggetarkan fikiran dan badan, namun berkat perpaduan, bersatu hati tenaga dan fikiran, semua cabaran tersebut sama-sama diatasi berkat hati lurus, ikhlas dan jujur kerana Allah Subhanahu Wata'ala.

Menyentuh mengenai perasmian Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Yang Berhormat menjelaskan ia setentunya akan menjadi pemangkin semangat dalam meningkatkan juga melaksanakan kajian dan penyelidikan ke atas bahan koleksi juga menyebarkan hasil kajian dan penyelidikan itu bagi kesejahteraan umat Islam, rakyat Brunei Darussalam juga kemanusiaan sejagat secara amnya.

Yang Berhormat turut melahirkan harapan agar Majlis Ilmu 2019 akan dapat mengetengahkan kepentingan juga peranan Manuskrip Islam yang ditulis oleh orang terdahulu yang masih ada sampai saat dan ketika ini dalam perkembangan ketamadunan umat juga dapat dihayati dan difahami oleh orang ramai terutama generasi muda.

Acara kemudiannya diteruskan dengan Penyampaian Sijil dan Cenderamata kepada 26 orang, terdiri daripada penceramah khas, ahli-ahli panel dan moderator, penceramah dan para moderator juga pembentang-pembentang kertas-kertas seminar bagi Majlis Perasmian, Forum Perdana, Ceramah Perdana dan Seminar Majlis Ilmu 2019 yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri di JPM.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Attachments