Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
12.10.19 Manuskrip artifak berharga warisan ilmu, tamadun manusia

‚Äč

'Manuskrip Islam Mercu Tanda Ketamadunan Umat' merupakan tema Majlis Ilmu 2019 yang menghuraikan tentang manuskrip sebagai artifak yang sangat bernilai dan terpenting sebagai warisan ilmu dan tamadun manusia yang amat berharga.

Falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) adalah teras kepada pembentukan ketamadunan Negara Brunei Darussalam di bawah kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, di mana falsafah MIB diserapkan secara langsung ke dalam pelbagai agenda pembangunan negara termasuk agama, ekonomi, pendidikan, kesihatan, kesejahteraan, pembangunan infrastruktur, perhubungan dan undang-undang.

Dalam perkara ini juga, turut diberikan tumpuan adalah menjaga hak asasi setiap warga negara dan penduduk yang mendiami Negara Brunei Darussalam, dengan melaksanakan dasar-dasar negara yang menjaga kepentingan Maqasid Syariah.

Ini diertikan bahawa setiap perancangan pembangunan adalah menepati lima objektif syariah, iaitu pemeliharaan agama, pemeliharaan jiwa, pemeliharaan akal, pemeliharaan keturunan dan pemeliharaan harta dan ini juga diertikan bahawa Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam amat menitikberatkan keberkatan dan keredaan Allah Subhanahu Wata'ala dalam semua aspek pembangunan bangsa dan negara.

Dalam konteks ini, apa yang juga ingin diperlihatkan adalah bagaimana ketamadunan Islam sebelum ini berkait rapat dengan negara yang mempunyai falsafah yang mengamalkan nilai-nilai Islam dalam setiap aspek pembangunan, di mana keadaan negara-negara tersebut menikmati suasana bernegara yang aman damai serta mempunyai nilai-nilai kehidupan dan kemasyarakatan yang terpuji.

Manuskrip pula adalah merupakan naskhah tulisan tangan dan artifak yang sangat bernilai dan terpenting sebagai warisan tamadun manusia yang amat berharga. la adalah hasil karya tulisan tangan dengan menggunakan berbagai bahasa seperti bahasa Melayu, Arab, Parsi, Urdu dan seumpamanya.

Antara pihak-pihak yang telah banyak membuat inisiatif mengumpul, menyimpan hasil khazanah dan sejarah sesebuah negara termasuk manuskrip-manuskrip Melayu negeri-negeri dan wilayah di Kepulauan Borneo dan Nusantara sebagai Pusat Rujukan untuk tujuan kajian dan penyelidikan, serta pengembangannya ialah The British Library, University Oxford dan University of Cambridge, London dan University of Leiden, Holland.

Manuskrip Melayu juga dapat dikesan di Amerika Syarikat, Austria, Belgium, Denmark, Hungary, Ireland, Italy, Jerman, Norway, Perancis, Poland, Rusia, Sweden, Switzerland, Mesir, Indonesia, Thailand, Sri Lanka, Singapura dan Malaysia. (Mahayuddin Yahya: Karya Klasik Melayu - Islam 2000). Manuskrip Melayu turut didapati di negeri China dan Kemboja.

Sumber berita Pelita Brunei


Attachments