Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
12.10.19 Terapkan nilai Islam di bawah falsafah MIB

‚Äč


Dasar-dasar negara yang sentiasa diamalkan berpandukan falsafah Melayu Islam Beraja dalam melahirkan masyarakat yang holistik lagi berkualiti tinggi di Negara Brunei Darussalam, adalah menggambarkan ketamadunan lslam.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud, selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pandu Majlis Ilmu 2019 dalam sembah alu-aluannya pada Majlis Perasmian Majlis Ilmu 2019 dan Majlis Perasmian Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah berlangsung di balai berkenaan, Jalan Pengiran Babu Raja, di sini.

Terdahulu, Yang Berhormat menyembahkan, negara ini telah banyak mencapai kejayaan dan kemajuan dalam pelbagai aspek dan bidang termasuk agama, ekonomi, pendidikan dan sebagainya dan semua ini adalah berkat kepimpinan dan pemerintahan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di sepanjang lima dekad pemerintahan dengan menerapkan nilai-nilai Islam di bawah falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) yang berteraskan Aqidah Ahli Sunnah Waljamaah dengan Mazhab Syafi'e.

Yang Berhormat menyembahkan, berpaksikan ketokohan Kebawah DYMM tersebut, maka baginda telah dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat (Kepimpinan Islam) sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Ke-90 yang baru lalu.

''Di samping itu, Bandar Seri Begawan juga telah mendapat pengiktirafan dari Pertubuhan Saintifik, Pendidikan dan Kebudayaan Islam (ISESCO) sebagai Ibu Negara Ketamadunan Islam Bagi Rantau Asia Tahun 2019.

Maka sangat berpadanan dan sangat serasilah dengan tema Majlis Ilmu kali ini, 'Manuskrip Islam Mercu Tanda Ketamadunan Umat','' sembah Yang Berhormat.

Jelas Yang Berhormat, tema tersebut mengetengahkan khazanah ilmu Islam sebagai warisan dan peninggalan yang sangat bermanfaat lagi berharga sebagai pemangkin peradaban dan ketamadunan umat.

Yang Berhormat seterusnya menyembahkan, Majlis Ilmu kali ini diadakan dengan lebih istimewa kerana ia diselajurkan dengan Majlis Perasmian Bangunan Balai Khazanah Islam, Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Menyingkap kembali sejarah tertubuhnya balai tersebut pada 28 Jamadilawal 1422 Hijrah bersamaan 18 Ogos 2001 Masihi, yang ditempatkan sementara di Bangunan Darulifta, Jabatan Mufti Kerajaan, terang Yang Berhormat, mengandungi empat balai pameran yang mempamerkan koleksi milik peribadi Kebawah DYMM yang berkaitan dengan khazanah tamadun lslam.

''Penubuhan awal Balai Khazanah ini adalah manifestasi dalam merealisasikan hasrat dan keazaman Kebawah Duli Tuan Patik untuk memelihara dan mengembalikan keunggulan khazanah ilmu-ilmu dan warisan Islam,'' jelas Yang Berhormat.

Sembah Yang Berhormat, dengan tertubuhnya bangunan kekal Balai Khazanah Islam berkenaan lebih banyak lagi koleksi akan dapat dipamerkan dan diharapkan ia akan lebih aktif, bukan sahaja dalam mengumpul dan mempamerkan secara kekal, bahkan akan dapat terus memperluaskan agenda keilmuannya sehingga menjadikannya sebagai salah sebuah pusat khazanah warisan ilmu dan mercu tanda kepimpinan intelektualisme seorang raja mukmin.

Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, bangunan tersebut mempunyai sembilan buah galeri pameran yang menempatkan pelbagai koleksi khazanah ilmu-ilmu dan artifak warisan Islam milik peribadi Kebawah DYMM, antaranya, Galeri Kebestarian Raja; Galeri Mushaf; Galeri Atsar Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dan Sahabat Radhiallahu Anhum dan lain-lain.

Turut dipamerkan, tambah Yang Berhormat, ialah artifak dan warisan ilmu Islam seperti Kiswah Ka'bah dan peralatan astronomi serta manuskrip-manuskrip yang unik dan nadir yang mana manuskrip-manuskrip ini ditulis dalam berbagai bahasa seperti Melayu, Arab, Parsi dan Urdu terdiri daripada pelbagai disiplin ilmu Islam seperti akidah, syariah, akhlak, tasawuf, sejarah, falsafah, perundangan, perubatan dan sebagainya.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Attachments