Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
28.11.18 Pertanian beri sumbangan signifikan pertumbahan ekonomi


BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 28 November - Hari kedua Majlis Ilmu 2018 terus disemarakkan dengan Forum Perdana yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas hari ini.

Berangkat pada forum tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Juga berangkat, paduka adinda Duli Yang Teramat Mulia, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik.

Keberangkatan tiba DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dijunjung oleh Menteri di JPM, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud; Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong; Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah; Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mat Suny bin Haji Md. Hussein selaku Pengerusi-Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pandu Majlis Ilmu 2018; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned selaku Penasihat Jawatankuasa Pandu Majlis Ilmu 2018 dan Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Ahmaddin bin Haji Abd. Rahman selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Forum Perdana 2018.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal, diikuti dengan sembah alu-aluan daripada Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Ahmaddin yang antara lain menjelaskan, Forum Perdana pada tahun ini membincangkan tema Majlis Ilmu 2018 iaitu 'Sektor Pertanian: Survivabiliti Bangsa dan Negara'.

Jelasnya, sektor pertanian merupakan salah satu sektor penting yang memberi sumbangan signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negara khususnya Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK). 

Sektor pertanian dan agrimakanan di negara ini tambahnya, telah menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini yang mana pada tahun 2017, jumlah pengeluaran dari sektor ini telah meningkat sebanyak 91 peratus kepada BND380 juta berbanding pengeluaran pada tahun 2007 iaitu BND200 juta.

Pengeluaran daripada sektor ini juga ujarnya, dijangka akan meningkat pada tahun 2020 sebagaimana hasrat titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Persidangan Khas Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet pada 7 Februari 2018 yang lalu bagi memberikan perhatian dan keutamaan kepada sektor pertanian kerana sektor ini akan menentukan kelangsungan sebagai bangsa dan negara merdeka.

Kerajaan juga jelasnya, telah menunjukkan komitmen dan kepekaan ke atas pembangunan sektor pertanian dan agrimakanan di negara ini yang mana sejumlah BND7 juta subsidi telah dihulurkan kepada peladang-peladang pada Tahun Kewangan 2017 / 2018 berbanding BND5 juta pada Tahun Kewangan 2016 / 2017 dalam pelbagai bentuk subsidi seperti pembelian baja, racun, jentera / mesin, infrastruktur serta pemeliharaan dan perkhidmatan.

Majlis diikuti dengan sesi Forum Perdana yang dipengerusikan oleh Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Awang Haji Adanan bin Haji Basar termasuk seorang panel yang diundang khas dari luar negara iaitu Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Yang Berbahagia Datuk Dr. Mohamad Roff bin Mohd. Noor serta tiga panel tempatan, Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin; Setiausaha Tetap Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Pengiran Haji Kamalrudzaman bin Pengiran Haji Mohd. Ishak dan juga Pengurus Syarikat Marsya Farm, Awang Haji Muliadi bin Moksin.

Topik forum berkenaan antara lain membincangkan mengenai pertanian dalam perspektif Islam; perkembangan pertanian di Negara Brunei Darussalam; perkembangan pertanian di Malaysia dengan memfokuskan peranan penyelidikan serta pembangunan dan perkongsian pengalaman pengusaha tempatan dalam bidang pertanian.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan bergambar ramai bersama Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Forum Perdana Majlis Ilmu 2018 dan ahli-ahli panel jemputan.



Sumber berita: Pelita Brunei
Sumber foto: InfoFoto
Attachments