Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
24.11.18 Majlis Ilmu 2018 wadah membarigakan ilmu dan maklumat


BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 24 November. - Objektif utama penganjuran Majlis llmu tersebut adalah sebagai mercu tanda kepimpinan intelektualisme Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan betapa baginda sangat menitikberatkan kepentingan ilmu untuk semua lapisan masyarakat.

Di samping itu,  ia juga sebagai wadah membarigakan ilmu dan maklumat yang berguna kepada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam terutama membawa kepada penyertaan dan penglibatan positif dan aktif golongan belia-belia.

Setiausaha Tetap (Undang-Undang dan Kesejahteraan), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim menjelaskan perkara tersebut di sesi Sidang Media Majlis Ilmu 2018 yang diadakan di Bilik Sejati 4, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.

Majlis Ilmu 2018, jelasnya akan memfokuskan kepada ekonomi, dengan penumpuan diberikan kepada pertanian dengan tema Sektor Pertanian: Survivabiliti Bangsa dan Negara.

"Fokus ini adalah amat bertepatan dan sesuai untuk diberi keutamaan pada Majlis Ilmu tahun ini, pada menjunjung tinggi titah-titah Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang telah menekankan akan kepentingan perkembangan ekonomi, terutamanya bidang pertanian dan dalam mendokong usaha-usaha ke arah pelaksanaan Wawasan Brunei 2035 bagi pencapaian ekonomi yang dinamik dan mampan," jelasnya.

Sambutan Majlis IImu 2018 merupakan sambutan Majis Ilmu Kali Ke-13 sejak ia mula diadakan pada tahun 2004.

Majlis llmu 2018 merupakan salah satu acara utama perayaan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang akan diungkayahkan oleh Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP); Kementerian Kewangan dan Ekonomi, dan Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian.


Sumber berita: Pelita Brunei
Sumber foto: InfoFoto
Attachments